Pages

min alif ra ha

Marah itu sebenarnya ialah secebis api yang bersumber dari api Allah yang bernyala-nyala, yang panasnya naik ke pangkal hati, dan api itu bersemadi pula di dalam lubuk hati hingga berbara, kemudian diselaputi oleh abunya. Daripadanya terpancar sifat bongkak yang terpendam di dalam hati setiap orang yang sombong dan bongkak, seperti terpancarnya api dari batu yang bergesek dengan besi.

Orang yang melihat dengan nurul-yaqin (cahaya keyakinan) dapat menyingkap, bahawa dari manusia itu telah ditarik sepotong urat, berhubungan dengan syaitan yang terkutuk, apabila api kemarahannya mula berkobar-kobar, maka hubungan itu menjadi kukuh, sebagaimana pernah diucapkan oleh syaitan sendiri dan diceritakan dalam al-Quran:Engkau (Tuhan) telah menciptakan aku dari api, dan engkau ciptakan ia (manusia) dari tanah.” (al-A’raf: 12) Bukankah sifat tanah itu sentiasa bertenang dan tetap manakala sifat api pula bernyala-nyala, menyerang, berkobar-kobar dan bergejolak.

Kemudian timbul dari sifat marah itu perasaan-perasaan yang lain, iaitu dendam, hasad dan dengki, dan menerusi sifat-sifat inilah telah banyak orang yang binasa dan banyak juga orang yang rosak. Pokok segala kebinasaan dan kerosakan itu, bersebab dari segumpal daging (hati), jika daging itu dijaga dengan baik, baik pulalah seluruh tubuh.

Jika sekiranya kita telah mengetahui, bahawa sifat-sifat dendam, dengki dan marah itu di antara sifat-sifat yang menarik manusia kepada sebab-sebab kemusnahan dan kecelakaan, maka alangkah perlunya manusia itu untuk mengetahui sebab-sebab pendorongnya atau punca-punca perosaknya, agar ia dapat menghindarkan diri daripada bahaya-bahaya itu, dan agar ia dapat berhati-hati dan menjauhkannya dari hati dengan seberapa yang boleh.

Kecelaan sifat marah
Allah SWT berfirman: “Perhatikanlah ketika Allah menimbulkan dalam hati orang-orang yang tidak beriman kepadaNya itu, perasaan sombong; iaitu sifat sombong zaman jahiliah, lalu Allah menurunkan pula ketenanganNya ke atas RasulNya dan ke atas kaum Mukminin.” (QS al-Fath: 26)

Ayat ini telah mencela kaum Musyrikin atau orang-orang yang tidak beriman dengan Allah Ta’ala, disebabkan mereka telah melahirkan perasaan sombong yang timbul dari sebab marah terhadap yang hak dan membela yang batil. Begitu pula ia telah memuji juga kaum Mukminin, atau orang-orang yang beriman dengan Allah SWT, disebabkan sikap mereka yang menerima yang hak, lalu diturunkan ke atas mereka perasaan yang tenang.

Diriwayatkan ada seorang telah mendatangi Rasulullah SAW sambil memohon supaya baginda mewasiatkan sesuatu wasiat yang pendek dan sedikit saja. Maka baginda bersabda kepadanya: "Jangan marah!" Diulangi permintaannya lagi maka baginda sekali lagi: "Jangan marah!"

Rasulullah SAW pernah bertanya kepada para sahabat: "Apakah yang kamu dapat fahamkan tentang maksud bergelut?" Kata para sahabat: "Penggusti yang tidak dapat ditumbangkan dalam pergelutannya." Sabda baginda: "Bukan itu yang aku maksudkan. Tetapi orang yang bergelut itu ialah orang yang dapat menahan dirinya, ketika dalam kemuncak kemarahannya."

Berkata Ja’far r.a.: "Kemarahan itu kunci segala kecelakaan." Setengah para sahabat berkata: "Pokok dan pangkal sifat bodoh itu, ialah degil dan pemimpinnya ialah marah." "Barangsiapa yang meredhakan dirinya dengan kejahilan, tidaklah perlu lagi baginya sifat toleransi. Toleransi adalah sifat yang baik dan banyak mendatangkan manfaat. Sedang kejahilan pula adalah sifat yang buruk dan mendatangkan banyak mudharat. Berdiam diri atau tidak melayani pertanyaan seorang yang bodoh adalah jawabnya."

Berkata al-Hasan pula: "Di antara tanda-tanda seorang Muslim yang sejati, ialah teguh agama, lemah-lembut kelakuan, penuh iman dan yakin, berilmu pengetahuan dan bertoleransi, pandai menjaga kepentingan dan berbelas kasihan, selalu memberi dengan hak, tidak boros meskipun kaya, murah hati meskipun miskin, berbuat baik walaupun berkuasa, menanggung jerih-perih bersama kawan-kawan, bersabar walaupun susah, tiada dikuasai oleh kemarahan, tiada selalu menurutkan perasaan, tiada dipengaruhi oleh syahwat dan nafsu, tiada dimalukan oleh kebatinan, tiada mementingkan keinginan, tiada terhad niat baik, sering menolong orang yang teraniaya, mengasihani orang yang lemah, tidak kikir dan tidak boros, tidak berbelanja berlebihan-lebihan dan tidak mengenggam tangan, bersedia mengampuni orang yang menganiayai, suka memaafkan orang bodoh, biarlah dirinya berada di dalam kepayahan asalkan semua orang berada di dalam kesenangan.

                                 
                                       *****************************************************************************"

Adapun kesan-kesan atau tanda-tanda kemarahan yang terdapat pada lidah, umpamanya kelancangan lidah ketika menyebutkan caci-maki, dan kata-kata yang terkeji dalam percakapan, yang apabila didengar oleh orang yang waras fikiran, nescaya ia akan merasa malu dan segan, dan kalau diceritakan semula kepada orang yang mengucapkannya setelah hilang marahnya, tentu sekali ia juga akan merasa malu dan menyesal atas kelakuannya itu. Sebab ketika ia marah tadi, percakapannya kelam-kabut dan tidak teratur, sehingga semua perkataan-perkataan yang keluar dari mulutnya itu tidak menerima pertimbangan akal fikiran yang waras dan wajar.

Tentang kesan-kesan marah dan alamat-alamatya pada anggota, ialah suka memukul, menyerang, menghancurkan harta benda, melukai bahkan membunuh sekalipun, jika berkuasa melakukan seperti itu. Malah ada kalanya ia sampai menganiaya diri sendiri, mengoyak-ngoyakkan pakaiannya, memukul-mukul dirinya, atau terkadang-kadang ia memukul-mukul tanah. Biasa juga orang yang berkelakuan begini diserang oleh perasaan tidak sedarkan diri, sehingga semua tindakanya itu seperti tidakan orang tak siuman atau hilang akal. Orang yang dalam keadaan begini, tidak mustahil akan merosakkan harta benda, menganiaya binatang, memecahkan pinggan-mangkuk, ataupun sampai memaki-maki binatang. Tidaklah hairan pula, jika binatang itu menendangnya, ia akan menendang balik binatang itu. Jelaslah ketika itu, ia akan bersikap seperti orang gila.

Adapun kesan-kesan dan tanda-tandanya pada hati pula, ialah lahirnya sifat-sifat dendam dan dengki, memendamkan niat jahat terhadap orang lain, suka bersifat dengan segala sifat-sifat yang dicela dan dikeji. Ia tidak senang apabila melihat orang bergembira. Ia tidak segan untuk membocorkan rahsia orang. Ia suka melanggar penghormatan orang dan mengejek-ejeknya. Pendek kata semua sifat-sifat yang buruk itu akan dilengkapinya di dalam dirinya. Demikianlah hasil sifat marah yang berlebih-lebihan atau yang melampaui batas.


                            *************************************************************************************
Untuk mengubati penyakit marah menerusi ilmu pengetahuan, ada beberapa caranya, iaitu:

Pertama: Hendaklah anda cuba mengingatkan kembali segala anjuran-anjuran yang ditunjuk oleh syariat dalam keutamaan dan kelebihan sifat-sifat menahan marah, pemaaf, penyantun dan menanggung perilaku buruk. Dengan jalan itu jiwa anda akan inginkan pahala yang dijanjikan kerana menolak kemarahan itu, lalu anda akan menentang keinginan diri untuk membalas dendam, maka dengan itu perasaan marah anda akan terhapus dari dalam diri.

Kedua: Hendaklah anda ingat tentang ancaman Allah Ta’ala dan siksaanNya, andaikata diteruskan juga sifat marah anda itu. Anda harus merenung pula, apakah anda boleh terselamat dari kemurkaan Allah Ta’ala pada Hari Kiamat kelak, meskipun ketika itu anda sangat memerlukan kepada pengampunan dan kemaafan Allah Ta’ala.

Ketiga: Hendaklah anda ingat akan akibat permusuhan dan pembalasan dendam lawan anda, kelak sudah barang tentu ia akan berusaha untuk menceroboh kehormatan diri anda. Ia akan cuba menjaja segala keburukan anda. Ia akan merasa suka, bila anda tertimpa sesuatu bencana, sedangkan anda sendiri tentu sekali tidak sunyi dari berbagai-bagai keburukan dan kecelaan diri. Dengan yang demikian, anda akan merasakan keburukan akibat marah itu di dunia, kiranya anda masih tidak mengendahkan akan akibat dosanya di akhirat.

Keempat: Hendaklah anda gambarkan bertapa buruknya rupa anda kelak bila anda marah, iaitu dengan mengingat rupa orang lain ketika dalam dalam kemarahan. Bayangkanlah rupa anda yang buruk ketika itu, dengan rupa sahabat ada yang diumpamakan seperti anjing galak yang hendak menerkam, atau seekor binatang buas yang mengganas. Kemudian bayangkanlah pula seorang penyantun yang bertenang saja, yang tidak suka marah-marah, yang menurut perilaku para Nabi, para wali, para alim ulama dan orang-orang yang bijaksana. Pilihlah antara dua perilaku itu, mana yang lebih sesuai bagimu? Menyerupakan dirimu dengan perilaku anjing-anjing, binatang-binatang buas dan orang-orang yang tercela kelakuannya? Ataupun menyerupakan dengan perilaku para Nabi dan alim ulama dalam adat kebiasaannya, supaya jiwa anda kelak tertarik kepada perjalanan hidup mereka itu, itu pun jika ada lagi padamu sedikit otak yang boleh memikirkan baik buruknya kedua-dua perilaku tadi.

Kelima: Hendaklah anda fikirkan apa sebabnya anda ingin membalas dendam? Dan apa pula sebabnya anda tidak dapat menahan diri dari kemarahan itu? Mungkin juga syaitan membisikkan di telinga anda, bahawa sikap itu akan menunjukkan kelemahan dan kehinaan diri, dan anda akan kelihatan rendah di mata orang ramai. Ketika itu hendakkah anda menjawabnya dengan berkata: "Wahai nafsu! Aneh sekali engkau ini. Engkau tak sanggup menahan penghinaan sekarang. Apakah engkau lebih sanggup menahan penghinaan di Hari Kiamat kelak? Apakah engkau tidak bimbang, kelak di sana engkau akan dihinadinakan di hadapan Allah, para Malaikat dan pada NabiNya?"

Apabila anda menahan kemarahan, maka hendaklah anda menahannya semata-mata kerana Allah. Anda menahannya juga kerana ia seperkara yang dipandang berat di sisi Allah. Jangan sampai anda terpengaruh dengan kata-kata orang, ataupun menahan kemarahan itu dengan sesuatu sebab keduniaan.

No comments:

Post a Comment